taaraa!

Tuesday, February 11, 2014

Sistem ar-Rahnu dan peranan-nya dalam sistem ekonomi Islam di Malaysia



OBJEKTIF
    Untuk mengetahui hukum dan rukun Ar-Rahnu.
    Untuk mengetahui kebaikan dan keburukuan Ar-Rahnu.
    Untuk mengetahui peranan Ar-Rahnu terhadap masyarakat.
    Untuk mengetahui perkara yang membatalkan Ar-Rahnu.
    Perbezaan antara pajak gadai Islam dengan bukan Islam.
PENDAHULUAN
Dalam bahasa Arab, Ar -Rahnu bermaksud sesuatu barang yang diserahkan kepada seseorang sebagai cagaran hutang.  Dari segi syarak pula, ia membawa erti harta yang dijadikan cagaran kerana sesuatu hutang untuk menyamakan hutangnya apabila tidak berkemampuan pembayarannya oleh yang berhutang mengikut ketentuan syarak. Manakala dari segi syarak merujuk kepada satu barang yang berharga dijadikan sebagai sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar.
Selain itu, Definisi Ar-Rahnu menurut istilah undang-undang Islam ialah sebagaimana yang diperkatakan oleh para ulama Maliki iaitu “Pemberian seseorang yang diizinkan berkontrak, sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar yang sedikit sebagai sandaran (jaminan) ke atas sesuatu hak”. Definisi di atas adalah meliputi definisi yang dinyatakan oleh empat mazhab utama ahli sunnah iaitu mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Syafie dan mazhab Hambali.
Penggunaan perkataan “pemberian” membawa maksud semua urus niaga samada gadaian atau jual beli. Ungkapan “seseorang yang diizinkan berkontrak” pula membawa maksud mukallaf (mukallaf adalah orang dipertanggungjawabkan dengan kewajipan dan perintah untuk menjalankan hukum tuntutan agama Islam serta menjauhi larangan-Nya atas dasar orang tersebut sudah mencapai usia dewasa dan mempunyai akal)  yang diizinkan berurus niaga mengikut perundangan Islam iaitu berakal, baligh dan tidak boros. Manakala  ungkapan “sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” membawa maksud sesuatu perkara yang boleh digunakan dalam berkontrak contohnya berjual beli.
Perkataan gharar dalam bahasa Arab berasal daripada kata perbuatan gharra bermakna memperdaya. Dari segi istilah, gharar ialah sesuatu yang tidak diketahui kewujudannya atau ketiadaannya atau tidak diketahui jumlahnya sama ada sedikit atau banyak atau sesuatu yang tidak mampu diserahkan ketika berkontrak. Gharar yang sedikit pada pandangan mazhab Maliki ialah sesuatu ketidakpastian yang dimanfaatkan oleh masyarakat.
Ungkapan “sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” adalah merangkumi perkara yang boleh digadaikan. Akan tetapi tidak semua perkara boleh dijadikan seperti babi, arak, bangkai dan sebagainya benda ini haram dan tidak boleh sama sekali dijadikan barang gadaian walaupun ianya boleh dijual beli. Ungkapan ini memberi pengertian umum terhadap sesuatu itu sama ada ia benda atau manfaah (manfaat daripada benda), berdasarkan pandangan sesetengah mazhab yang membenarkan “bukan benda” atau manfaah.
 HUKUM AR-RAHNU
Ulama telah bersepakat menetapkan bahawa hukum gadaian adalah harus, ini kerana ianya telah nyata di dalam disebut Al-quran dan selari dengan Al-hadis.
RUKUN AR-RAHNU
1.    Penggadai (al-rahin) / orang yang menggadai :
·         Orang yang berhutang,
2.    Penerima gadaian (al-murtahin) / pemegang gadai :
·         Pihak yang memberi pinjaman
3.    Hak yang menjadi sebab sesuatu itu digadai / tanggungan gadaian iaitu hutang (al-marhun bihi) :
4.    Perkara yang digadaikan (al-marhun) :
·          “sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” adalah merangkumi perkara yang boleh digadaikan. Akan tetapi tidak semua perkara boleh dijadikan seperti babi, arak, bangkai dan sebagainya benda benda ini haram dan tidak boleh sama sekali dijadikan barang gadaian walaupun ianya boleh dijual beli. Ungkapan ini memberi pengertian umum terhadap sesuatu itu sama ada ia benda atau manfaah (manfaat daripada benda), berdasarkan pandangan sesetengah mazhab yang membenarkan “bukan benda” atau manfaah sebagai perkara yang digadaikan. Contohnya ‘sesuatu hutang’ sebagai perkara yang digadaikan
5.    Ijab & Qabul :
·         Persetujuan diantara dua belah pihak (penggadai dan penerima gadai)
KEBAIKAN AR-RAHNU
Diantara kelebihan utama dalam Ar-rahnu dengan pajak gadai yang lain adalah pada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Ini kerana keuntungan dalam Ar-Rahnu tidak diambil daripada pinjaman secara langsung sebaliknya mengambil manfaat daripada peminjaman dan penerimaan barang. Faedah tersebut terbit daripada kontrak baru yang diwujudkan iaitu kontrak upah simpan. Kontrak upah adalah satu kontrak yang wujud dan halal dalam perundangan Islam, tidak sepertimana sistem pajak gadai konvensional yang mengambil keuntungan dari faedah bergantung pada nilai pinjaman yang dilakukan ini dapat dilihat dalam syarat gadaian konvensional yang menetapkan bahawasanya penghutang mesti membayar faedah atau bunga pada kadar 2% sebulan ke atas jumlah pinjaman.
Syarat ini bertentangan dengan perundangan Islam secara langsung yang tidak membenarkan penambahan kepada kadar asal pinjaman berdasarkan tempoh masa sebagaimana ketetapan yang dibuat oleh Majlis Penyelidikan Islam dalam persidangannya yang kedua pada tahun 1965. Ia menyatakan bahawa segala jenis faedah ke atas semua jenis pinjaman adalah riba yang diharamkan oleh perundangan Islam. Kaedah ini nyata sekali haram disisi Islam kerana ia dilihat member keuntungan hanya pada satu pihak saja dan satu pihak lagi tertindas, firman yang dinyatakan dalam lampiran.
Di samping itu penggadai tidak perlu bimbang akan keselamatan barang gadaiannya, kerana  barang yang berada dalam simpanan pemegang gadaian akan dijamin keselamatannya . Di mana, penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan dan bertanggungjawab ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian dan jika apa–apa yang tidak diingini berlaku terhadap barang gadaian tersebut samada hilang ataupun rosak pihak pemegang gadaian akan bertanggungjawab ke atas apa yang terjadi ke atas barang gadaian itu iaitu dengan membayar ganti rugi kepada pihak penggadai. Dengan ini, pemberi gadaian tidak perlu risau dengan masalah pemeliharaan dan penjagaan barang kemas mereka sepanjang ia berada di pihak penerima gadaian.
Dalam Ar-Rahnu juga penggadai tidak perlu bimbang akan nilai gadaiannya kerana dalam Ar-Rahnu kadar nilai barang gadaian dijamin tidak akan merosot apabila ingin ditebus semula ianya akan tetap dengan harga asal sepertimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak ketika berakad dan  tidak akan berlaku sebarang masalah di mana barang kemas seperti rantai emas apabila ditebus didapati kurang berat atau pendek sedikit daripada sebelum digadai.
Dan jika sekiranya pihak yang menggadai tidak mampu menjelaskan hutangnya pada masa yang ditetapkan iaitu tamatnya tempoh perjanjian maka pemberi gadaian akan diberitahu atau dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual bagi melangsaikan hutangnya yang tertangguh itu, Sekiranya harga jualan melebihi baki hutangnya, lebihan tersebut akan dikembalikan, hal ini berlaku kerana nilai gadaian adalah jauh lebih tinggi daripada nilai hutang tersebut.
Selain itu juga Ar-Rahnu mengenakan caj perkhidmatan yang rendah terhadap penggunanya. Ini dapat dilihat dalam aspek pengurusan di Ar-Rahnu yang hanya melibatkan kos dan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan Pajak Gadai Konvensional. Pajak Gadai Konvensional menawarkan caj perkhidmatan yang tinggi dan ada juga sebilangan pemegang  Pajak Gadai Konvensional yang menerima atau meminta wang pendahuluan dari penggadai walaupun akta melarang kegiatan tersebut.
Pemberi gadaian juga tidak perlu risau dengan penipuan-penipuan yang sering berlaku semasa timbangan dibuat. Ini kerana, dalam Ar-Rahnu tidak akan berlaku sebarang unsur penipuan semasa timbangan dibuat dan nilai timbangan yang jelas akan ditunjukkan kepada pemberi gadaian.
Ar-Rahnu juga merupakan sebuah Pajak Gadai Islam yang boleh bertolak ansur dengan pelanggannya berkaitan dengan tempoh membayar balik wang pinjaman yang telah dipinjam. Tempoh membayar balik yang dikenakan adalah munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak. Tidak seperti sesetengah Pajak Gadai Konvensional yang kadangkala meminta wang tambahan daripada pemberi gadaian sekiranya pemberi gadaian ingin melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman mereka ini ternyata membebankan pihak yang berhutang, sedangkan dalam Islam melarang sebarang penindasan yang berlaku.
Pihak penerima gadaian akan memberi notis kepada pihak penggadai sekiranya barang gadaian mereka hendak dilelongkan ini berlaku kerana tempoh masa membayar balik untuk mereka telah tamat. Dengan ini pihak pemberi gadaian akan mengetahui bahawa tempoh masa membayar balik yang diperuntukkan untuk mereka telah habis dan barang gadaian mereka akan dilelongkan. Ini bertepatan dengan perundangan Islam kerana ia adalah sebahagian daripada kesan atau natijah kontrak gadaian tersebut.
Ar-Rahnu turut menitik beratkan soal penentuan nilai gadaian yang sepatutnya. Dalam Ar-Rahnu, penerima gadaian akan memberi nilai gadaian yang sepatutnya dengan barang gadaian yang digadai oleh penggadai contohnya ialah kadar hutang yang ditetetapkan oleh penggadai  hendaklah bersamaan dengan 50% atau 60% daripada nilai barang gadaian (barang kemas emas). Syarat ini berkaitan dengan mensyaratkan kadar tertentu untuk hutang berdasarkan nilai barang gadaian. Para ulama membenarkan meletakkan syarat yang tidak bertentangan dengan maksud kontrak dan tidak memberi mudarat kepada salah satu daripada dua pihak yang berkontrak. Bahkan mereka bersepakat membenarkan kadar hutang sama ada bersamaan atau melebihi atau kurang daripada nilaian barang gadaian. Tidak seperti kedai Pajak Gadai Konvensional yang memberi kadar pinjaman berdasarkan rundingan yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak tanpa mengambil kira nilai barang gadaian yang digadaikan. Ia berlaku kerana Akta Pemegang Pajak Gadai tidak menetapkan nilai tara atau kriteria untuk menilai gadaian berkenaan berbeza dengan pajak Ar-Rahnu di mana nilai taranya telah ditetapkan.
KEBURUKAN AR-RAHNU
Gadaian anda akan dimasukkan dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS). Hal ini akan menjadikan anda disenarai hitam dalam sistem perbankan. Kalau anda nak buat loan perumahan di mana2 bank, mesti ditolak. Kenapa? Emas merupakan kekayaan anda, bukan pinjaman tanpa cagar dari Bank. CCRIS itu sangat serius!!
Proses pemajakgadaian telah ditukar kepada PINJAMAN BERCAGAR EMAS. Banyak kerumitan dikenakan. Anda perlu membayar DUTI SETEM untuk perjanjian pinjaman bercagar emas sebanyak RM10.00. Banyak borang kena ditandatangan dan juga dicop ibu jari. Anggota ahli keluarga yang rapat diambil nama & telefon, semua ini tektik pemasaran Bank.
Imbangkan bahawa banyak borang yang dikena sign dan satu barang emas perlu mengambil masa sekurang2nya 20minit. Kalau seorang 20minit, katakan 3 orang di depan anda, anda perlu tunggu 1 jam baru sampai giliran anda. Di Pajak Gadai Berlesen, proses secepat 3 minit utk satu barang. Penggunaan komputer yang paling canggih dengan perisian pemajakgadaian.
Nilai Pinjaman yang rendah. Ar-rahnu paling tinggi bagi sehingga 75% daripada nilai marhun. Kedai Pajak Gadai Berlesen sekarang mampu bersaing sehingga 82% daripada nilai marhun.
Tempoh gadaian maksimum 10 bulan. Perlu ditebus kembali selepas ini! Di pajak gadai berlesen tradisi, kalau upan simpan 6 bulan dibayar setiap kali, simpan seumur hidup pun tiada masalah!
Barang SOASA, BERBATU semua tak ambil!!! Mereka nak senang kerja. Duit bank, duit koperasi, duit awam, tidak dijaga dan diurus dengan sepenuh hati. Di Pajak Gadai Berlesen yang swasta, modal pusingan semua hak milik sendiri. Oleh itu, servis yang unggul dan menggembirakan semua pelanggan.
PERANAN AR-RAHNU
1.    Menggalakkan umat Islam melakukan gadaian mengikut syari’ah Islam dan membebaskan mereka daripada berurusan dengan sistem yang mengandungi unsur-unsur riba.
2.    Menyediakan kemudahan kredit mikro kepada ummah khususnya kepada mereka yang memerlukan wang segera untuk pelbagai tujuan.
3.    Memberi kesedaran kepada umum bahawa mereka terdedah kepada unsur-unsur penyelewengan apabila mereka melakukan gadaian di kedai-kedai pajak gadai konvensional.
4.    Memberi kesedaran kepada penggadai bahawa Skim Ar-Rahnu ini mengenakan upah simpan yang minimum iaitu separuh daripada kadar yang dikenakan oleh kedai pajak konvensional iaitu 24 peratus.
PERKARA YANG MEMBATALKAN AR-RAHNU
Ar-rahnu akan terbatal ataupun tamat tempoh apabila si penggadai telah membayar keseluruhan hutang ataupun barang yang digadai diserahkan semula kepada penggadai. Selain itu, pembatalan ini boleh berlaku jika barang gadaian itu rosak dan orang yang memegang gadaian itu meninggal dunia. Apabila seseorang itu tidak  menjelaskan hutangnya pada masa yang ditetapkan, ia akan menyebabkan barang gadaian dijual dan sekaligus turut membatalkan gadaian yang dijalankan. Ia juga akan menyebabkan barang yang digadai itu akan disewa ataupun disedekahkan kepada orang lain. Pembatalan juga akan berlaku sekiranya pemegang gadaian itu membatalkan gadaian walaupun tanpa pengetahuan si penggadai dengan syarat yang dibenarkan. Dalil telah disertakan dibahagian lampiran.
PERBEZAAN ANTARA PAJAK GADAI ISLAM DENGAN BUKAN ISLAM
PAJAK GADAI ISLAM
PAJAK GADAI BUKAN ISLAM
Memberi pinjaman tanpa bunga (mengikut syariah Islam)
Memberi pinjaman beserta bunga (riba)
Tidak dibenarkan mengaut keuntungan
Mengaut keuntungan dari kesusahan pelanggan
Upah menyimpan yang rendah
Upah menyimpan yang tinggi
Lebihan wang ke atas barang yang dijual akan dikembalikan kepada pelanggan
Lebihan wang ke atas barang yang dijual tidak akan dikembalikan kepada pelanggan

LAMPIRAN / DALIL
·         Firman Allah :

 Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (surah Al-Baqarah 2:275)
DALIL :
 "Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang mengurangkan (sukatan dan timbangan) iaitu orang-orang yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka minta patuhi . Dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain mereka mengurangkannya".
(surah Al-Muttaffifin: 1-3)
·         Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
 "Lima (dibalas) dengan lima. Mereka sahabat bertanya: Apaah lima (dibalas) dengan lima , Hai Rasulullah? Rasullulah menjawab; satu kaum tidak membatalkan perjanjian melainkan Allah (membenarkan) musuh menguasai mereka. Mereka tidaklah memutuskan perkara dengan selain apa yang telah diturunkan Allah, melainkan merebak kepapaan dalam kalangan mereka. Tiada lahir di kalangan mereka kejahatan (zina) , melainkan Allah menurunkan ta'un ke atas mereka, yakni banyak kematian. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan, melainkan mereka ditahan dari tumbuh-tumbuhan (tanaman tidak menjadi) dan mereka ditimpa kemarau dan kelaparan. Dan tiadalah mereka menahan zakat (tidak mengeluarkan zakat) melainkan mereka tidak mendapat hujan". (Riwayat At-Tabrani)
·         Allah s.w.t. berfirman :
“Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedangkan kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang jaminan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Al-Baqarah: 283).
·         Firman Allah :
كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
"Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.........."(Surah Al-Muddasir 74:38)
KESIMPULAN
Sistem Ar-Rahnu dalam ekonomi Islam di Malaysia lebih bersifat adil berbanding konvensional. Oleh itu kami menyarankan konsep Ar-Rahnu dalam Islam diperluaskan kerana konsep Ar-Rahnu menggalakkan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang memerlukan, ia bagi membantu masyarakat kita tanpa mengira agama dan keturunan. Islam menggalakkan dan menghalalkan sistem gadaian kerana ia dapat meningkatkan taraf sosial dan keadilan dalam masyarakat. Selain daripada itu, ia dapat mengembangkan potensi perniagaan serta menggalakan mereka mencari rezeki yang halal lagi berkat. Konsep ini dapat membantu meringankan beban seseorang yang dalam kesusahan mahupun dalam keadaan terdesak. Ia juga bagi  mengelakkan berlakunya keruntuhan sosial dalam institusi masyarakat seperti meminjam daripada along dan lintah darat. Sistem ini adalah dihalalkan dan tidak akan berlaku sebarang masalah penipuan. Hal ini kerana, setiap pelangan yang urusan akan diberikan penjelasan yang terang dan nyata melalui dokumen perjanjian yang akan persetujui bersama. Dokumen tersebut mengandungi syarat-syarat perjanjian yang dikuatkuasakan oleh kedua-dua belah pihak.
Tidak dinafikan juga, apabila masih ada skim Ar-Rahnu yang mengandungi unsur-unsur riba dalam transaksinya. Walau bagaimanapun, skim ar-rahnu ini juga mempunyai manfaat, jika dibandingkan dengan transaksi konvensional. Oleh itu, usaha ke arah menghilangkan syubhat riba perlu dilakukan dan dititik beratkan. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam yang berkelayakkan dan berkemampuan untuk mengubah situasi ini. Agar ekonomi kita dapat dijalankan dengan berteras Al-Quran dan As-sunnah serta terus berkembang dan membangun sejajar dengan arus pembangunan negara.
Berpandukan ayat diatas, semua urusniaga yang dijalankan haruslah ditulis kerana ia dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh dan jelas. Dalam Islam telah termaktub sistem yang sempurna dan praktikal untuk dilaksanakan oleh umatnya bagi mengelakkan berlakunya unsur-unsur gharar (penipuan) dan riba. Unsur-unsur ini boleh dielakkan jika kita mempunyai instrumen kewangan Islam serta menggunakannya cara yang efesien dan berkesan.                                             
RUJUKAN
·         Dari sumber internet:
·         Dari sumber buku:
1.    Mohd Faizal Bin Mat Pesa dan Wan Mohd Tarmizi Wan Othman, Jun 2013, Jabatan Pengajian Am, Pengajian Tamadun Islam